Lapan bakal calon BN – Bakelalan

Posted: 4 April 2016 in Politik

Sumber Info: http://sarawakvoice.com/

LIMBANG: Dengan hanya Ba Kelalan untuk diisi oleh seorang calon, tetapi kini dengan lapan orang calon berpotensi  mengintai peluang mengisi kekosongan itu bagi mewakili Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), sudah tentu tujuh lagi akan terpaksa menanggung kekecewaan selepas pemilihan teliti dibuat oleh Ketua Menteri dalam menentukan calon bagi mewakili kawasan pedalaman Orang Ulu itu.

Selepas mengetahui perkembangan dan pergolakan di akar umbi daripada pelbagai sumber, pendekatan diambil Tan Sri Adenan Satem adalah untuk bersemuka dengan lapan calon terbabit di Rumah Kerajaan di sini semalam, bagi mengelak sebarang kesan negatif selepas pemilihan dibuat, termasuk tidak bekerjasama, sabotaj-mensabotaj dan menghilangkan diri tanpa menghulurkan bantuan.

ba kelalan bn 1

Dalam pertemuan tertutup selama sekitar 45 minit itu, kesemua mereka mendengar pandangan Ketua Menteri, dan diberitahu bahawa perlunya kerjasama dan perpaduan bagi menjamin calon penyandang daripada PKR dapat ditumbangkan.

Menurut sumber, pengerusi BN itu telah mendapatkan pelbagai maklumat tentang latar belakang, personaliti, serta kekuatan dan kelemahan masing-masing daripada pelbagai sumber, termasuk daripada Jasa, Jabatan Penerangan, parti, risikan polis, dan sebagainya dalam beberapa minggu lalu.

Kriteria dan pemilihan yang tepat, termasuk bagaimana pengaruh dan kedudukan calon amat penting bagi menentukan kemenangan BN, menurut satu sumber.

Ketua Menteri  mahu memastikan Baru Bian,  peguam terkemuka berkaitan isu Tanah Adat Bumiputera (NCR) itu ditumbangkan dengan apa-apa cara pun di peti undi.

Dalam pilihan raya ke-10, Baru, anak tempatan, memenangi kerusi itu setelah menewaskan Willie Liau dengan majoriti tipis apabila meraih 2,505 undi, berbanding Liau, 2,032 undi.

Kali ini, kedudukannya di kerusi itu dalam bahaya apatah lagi jika calon langsung yang ditampilkan BN seorang yang berpengaruh, terkenal dan mampu menang.

Di sini semalam lapan orang telah dipanggil dan diminta berikrar di hadapan Adenan, sama dengan pendekatan digunakan bagi calon DUN Kabong beberapa hari lalu.

Mereka ialah bekas Adun Ba Kelalan, Datuk Nelson Balang Rining dan mantan Ahli Parlimen tahun 80-an, Mutang Tagal. Nelson memenangi  kerusi itu dua kali, termasuk dalam pilihan raya kecil, sebelum digugurkan dalam pilihan raya lalu.

Yang lain ialah Barry Baru Sigar dan Sam Laya, setiausaha dan penolong setiausaha  bahagian SPDP, masing-masingnya yang dicalonkan SPDP, Fabian Sigar, Willie Liau, calon SPDP yang tewas dalam pilihan raya lalu, Marto Labo, dan Stevenson Satu Buas.

Kerusi ini dianggap hitam bukan sahaja kerana ditawan Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi juga disebabkan pertelagahan dalam kalangan parti komponen.

Difahamkan lima orang daripada mereka merupakan peguam terkenal dalam kalangan komuniti Lun Bawang, manakala selebihnya ialah ahli perniagaan.

Kerusi majoriti Orang Ulu itu daripada kaum Lun Bawang dan Kelabit itu dimenangi oleh pengerusi PKR Negeri, Baru Bian dengan majoriti 473 undi apabila beliau  menewaskan Willie Liau daripada SPDP dalam pilihan raya 2011.

Dengan pengundi sebanyak sekitar 7,000 orang, terdiri 70 peratus Lun Bawang, 10 peratus Kedayan/Melayu dan selebihnya Cina dan Iban, kawasan ini bakal menyaksikan pertarungan menarik dalam pilihan raya nanti.

Bagi merungkaikan isu pertelagahan calon Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dijangka tiada pilihan melainkan terpaksa menampilkan calon langsung BN bagi memastikan kemenangan. Namun, jika berlaku sabotaj-mensabotaj, hal ini akan menguntungkan pihak lawan.

Justeru, calon langsung dipilih itu dikatakan seorang yang benar-benar mempunyai kewibawaan dan disegani pengundi di kawasan pedalaman itu. Calon berkenaan tidak semestinya muda, sebaliknya seorang yang dikatakan mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.

Antara faktor penting yang menentukan kemenangan ialah personaliti dan kedudukan bakal calon dalam masyarakat Orang Ulu di pedalaman itu.

Bagi masyarakat Orang Ulu, mereka mahu calon yang bersih, tanpa terbabit dalam aktiviti minum minuman keras atau berjudi.

Mutang Tagal, bukan daripada SPDP, tetapi kemungkinan beliau bertanding atas tiket SPDP atau sebagai calon langsung tidak dapat diketepikan.

Nelson, setiausaha agung SPDP, digugurkan pada saat-saat akhir pada 2011, dan tempatnya diwakili Willie, satu faktor mengakibatkan kekalahan BN.

Mutang merupakan abang kepada Datuk Dr Judson Tagal, Ahli Dewan Undangan Negeri Ba Kelalan, yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas ketika berlepas dari Bario menuju ke kawasan diwakilinya pada 2004.

Meskipun terdapat lapan nama disebut-sebut di akar umbi, namun menurut risikan SarawakVoice di akar umbi, masyarakat di sini memihak kepada Mutang.

Mutang mempunyai latar belakang keluarga ternama dan amat berpengaruh, berpengalaman luas sebagai peguam dan Ahli Parlimen (1982-90), apatah lagi beliau dari kelas Lun Do’ atau aristokrat dalam masyarakat Lun Bawang Dua lagi kelas ialah Lun Dat (kelas menengah) dan Demulun atau hamba.

“Mutang merupakan calon yang berpotensi besar untuk mengalahkan Baru Bian. Tidak keterlaluan saya katakan, beliau satu-satunya calon yang dapat menumbangkan Baru,” kata seorang pengundi yang enggan menyatakan namanya.

Usahawan berkelulusan undang-undang dari Universiti Malaya dan mempunyai syarikat guaman di Kuala Lumpur, Kuching dan Miri itu, dikatakan mempunyai rangkaian pengaruh keluarga yang meluas, termasuk dengan keluarga Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, mantan Ahli Parlimen Michael Lisa Kaya, Datuk Racha Umong, dan Datuk Nelson Balang.

Ketika SarawakVoice berkunjung ke sini baru-baru ini, antara isu dibangkitkan pengundi ialah keadaan jalan raya, bekalan air bersih, pembinaan sekolah menengah, hospital dan bekalan elektrik, ketiadaan sekolah menengah di Long Semadoh, klinik, masalah penyeludupan di sempadan,  kemudahan telekomunikasi, wifi, dan isu tanah NCR.

Berdasarkan pemerhatian,  penyeludupan semakin menjadi-jadi di sempadan Ba Kelalan dan Krayan Kalimantan.

Menurut  penduduk tempatan, lebih kurang 10,000 liter diesel dan 50 tong gas memasak dan barangan subsidi lain diseludup setiap hari ke sempadan Kalimantan sehingga menjejaskan ekonomi peniaga kecil di Ba Kelalan.

ba kelalan bn 2

Sekitar 40  buah pacuan empat roda melalui sempadan ini dengan membawa diesel dan barangan lain dengan terang- terangan.

“Perkara ini telah dilaporkan di akhbar dan YB tetapi, tidak ada tindakan yang diambil,” kata seorang penduduk.

Kini sempadan tersebut dikendalikan oleh imigresen dan askar tanpa pihak kastam.

Para penduduk mendakwa berpuluh-puluh buah kereta mewah yang dicuri dari Sabah dan Sarawak, dibawa masuk ke Krayan Kalimantan.

“Polis dan Tentera Indonesia tidak mahu bekerjasama untuk membanteras isu kecurian kereta. Tidak hairanlah , kebanyakan kereta di daerah tersebut tidak mempunyai nombor pendaftaran. Penyeludupan dadah pun berlaku di sini dan mungkin juga pemerdagangan manusia,” tambah seorang daripada penduduk, yang enggan dikenali.

Untuk itu, penduduk mencadangakan agar CIQ dibina di sempadan Ba Kelalan Kalimantan untuk membanteras penyeludupan barangan subsidi, kecurian kereta dan dadah. Dipercayai ia akan memulihkan kembali ekonomi peniaga di Ba Kelalan.

Selain itu, isu ketiadaan kad pengenalan juga menjadi masalah bagi lebih kurang seribu penduduk Ba Kelalan. Ini disebabkan masalah perhubungan  jalan raya  yang tiada sebelum ini.

“Kerana tidak ada kad pengenalan maka mereka tidak dapat mendaftar sebagai pengundi. Untuk menyelesaikan masalah yang bertahun-tahun ditanggung, mungkin Putrajaya dapat membantu; jika tidak mereka ini umpama pendatang haram di negara sendiri,” katanya.

Pengundi di beberapa kampung mendakwa ada janji yang belum dikotakan oleh kerajaan.

Mereka mahu wakil rakyat yang dapat membawa pembangunan ke kawasan terbabit.

Pertengahan Februari lalu,  Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan  menasihati mereka yang tidak dipilih sebagai calon agar tidak merajuk.

“Sesiapa pun dipilih mewakili BN di kawasan Ba’Kelalan, kita semua perlu menyokong.

“Jika tidak dipilih jangan merajuk dan jangan membawa kumpulan lain menentang kerajaan,” katanya dalam satu majlis di sini.

“Kita harus memastikan siapa dipilih perlu disokong dan bersatu kerana kita mahu Ba’Kelalan kembali kepada BN sekali gus memastikan kaum Lun Bawang maju bersama BN,” tambahnya.

Awang Tengah berkata  kerajaan  ingin memastikan penduduk di Ba’Kelalan  dibawa ke dalam arus perdana pembangunan dan  semua itu hanya dapat dilaksanakan kalau mereka menyokong BN.

Namun, para pengundi sedar jika berlaku pertembungan sesama sendiri dan tidak terdapat kompromi, kemungkinan besar calon PKR akan mendapat manfaat.

Dijangka Baru Bian akan mempertahankan kerusi itu dalam pilihan raya nanti. – Sarawakvoice.com

– See more at: http://sarawakvoice.com/2016/04/03/lapan-calon-ba-kelalan-berikar-setia-bekerjasama-tidak-sabotaj-di-hadapan-adenan-di-limbang/#sthash.TznVEP1k.dpuf

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s